Yandex

Exchanges

Sep 16, 2018 Shahirah Pertukaran Views: 17

Xbit Asia

0 (0 Reviews)
Compare with:
Name

Xbit Asia

Market
Price
Open 24H
Range 24H
Vol. 24H
% CH
Market
Type
Price
Quantity
Total
Id

Gambaran keseluruhan:

Xbit Asia adalah hak milik syarikat Xbit Asia Sdn Bhd yang didaftarkan dengan Bank Negara Malaysia. Xbit Asia menjalankan perdagangan pertukaran Bitcoin (BTC) dan menggunakan matawang fiat Ringgit Malaysia (RM) sahaja. Diasaskan pada 2016 oleh dua orang warganegara Malaysia iaitu Yuwarajan K dan Mac Sivanesan.

Xbit Asia mempunyai visi untuk menyediakan platform perdagangan yang sihat dan kompetitif dalam pasaran mata wang digital terutamanya Bitcoin di peringkat Asia.

Xbit Asia ialah platform yang menawarkan pedagang untuk meletakkan pesanan beli dan jual dengan beberapa pilihan seperti Pause and Cancel Order, limit order dan unlimited order.

Oleh itu, Xbit Asia amat sesuai untuk pedagang yang ingin menceburkan diri dalam dunia dagangan mata wang kripto kerana Xbit Asia menyediakan kaedah mudah untuk deposit, pengeluaran dan cara untuk berdagang.

Sebagai permulaan, anda haruslah mendaftar dengan Xbit Asia di tapak web mereka, kemudian akaun anda akan disahkan apabila anda memberikan maklumat diri seperti yang berikut:

  • Maklumat akaun bank Malaysia atas nama sendiri
  • Bukti kediaman seperti bil dan penyata bank

Hal ini kerana, Xbit Asia tertakluk dengan peraturan yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia iaitu dasar Kenali Pelanggan Anda di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram (Anti-Money Laundering Act atau AMLA).

Namun begitu, platform ini tidak boleh digunakan di beberapa negara berikut:

  • Syria
  • Sudan
  • Myanmar
  • Cuba
  • New York, USA
  • Korea Utara

Kaedah pembayaran:

Kaedah pembayaran yang disediakan oleh Xbit Asia hanyalah melalui pindahan bank iaitu Interbank-GIRO sahaja. Untuk Bitcoin, anda boleh menggunakan dompet dalam talian yang terdapat di pasaran.

  • Deposit

Terdapat dua cara yang boleh digunakan oleh pedagang untuk mendepositkan BTC iaitu melalui alamat bitcoin atau kod QR. Manakala jika melalui pindahan bank, anda boleh deposit ke akaun CIMB syarikat Xbit Asia terlebih dahulu, kemudian memberikan bukti transaksi melalui e-mel untuk dimasukkan ke dalam akaun maya anda.

Jika menggunakan cara ini, anda akan terikat dengan jadual pemprosesan deposit yang dikeluarkan oleh bank iaitu Isnin hingga Jumaat bermula pukul 11 sehinggalah pukul 9 malam.

Minimum deposit wang tunai adalah sebanyak RM 200.

Deposit Bitcoin pula selalunya akan dapat dilihat dalam masa beberapa saat sahaja.

  • Pengeluaran

Bagi pengeluaran, sekurang-kurangnya BTC 0.0003 dan anda akan dikenakan cas pemprosesan pengeluaran ke dompet lain dalam masa lebih kurang 24 jam.

Dan proses dan aturan yang sama seperti deposit jika anda menggunakan kaedah pindahan bank bagi pengeluaran mata wang fiat iaitu diproses mengikut masa.

Yuran perkhidmatan dan caj yang dikenakan:

Terdapat tiga jenis caj perkhidmatan iaitu caj pengeluaran, caj perdagangan dan caj transaksi manakala caj deposit tidak dikenakan bagi mata wang kripo dan fiat.

Caj pengeluaran ialah caj yang selalunya dikenakan oleh pihak bank iaitu sebanyak RM 0.11 sahaja. Bagi mata wang kripto pula, caj yang dikenakan adalah antara 0.0001 hingga 0.0004.

Manakala caj perdagangan iaitu peratusan yang dikenakan daripada jumlah dagangan kepada penjual dan pembeli iaitu 0.8 peratus. Tidak dinafikan, peratusan ini agak besar dan mahal untuk pedagang.

Dan caj transaksi pula sebanyak 1 peratus sahaja.

Ciri keselamatan Xbit Asia:

Ciri keselamatan platform ini boleh dikatakan antara yang terbaik kerana Xbit Asia berusaha memastikan platform ini mematuhi undang-undang yang ditetapkan, menjaga keselamatan wang dan akaun anda serta maklumat dan data peribadi anda.

Tapak web Xbit Asia dilengkapi dengan keselamatan SSL dan dompet digital yang ditetapkan oleh Xbit Asia menggunakan enkripsi PGP.

Untuk keselamatan akaun anda, Xbit Asia menggunakan 2 Factor-Authentication dan beberapa aplikasi pengurusan kata laluan yang boleh dipercayai seperti Authy, Google Authenticator.

Dari sudut undang-undang pula, Xbit Asia adalah antara platform yang diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia dan mematuhi sekurang-kurangnya AMLA dan Akta Privasi dan Perlindungan Data Peribadi.

Bagi penyimpanan Bitcoin pelanggan, mereka menggunakan teknologi penyimpanan deep freeze, multi-signature wallets dan kunci persendirian yang disimpan di bank yang berlainan. Selain itu, cetak sebalik untuk dompet dibuat dalam bentuk yang telah dienkripsi.

Mengamalkan dasar Kenali Pelanggan Anda, Xbit Asia mengenakan peraturan yang ketat kepada institusi kewangan lain untuk menggunakan platform ini yang mana Xbit Asia akan meminta maklumat berikut bagi memastikan perniagaan yang mereka jalankan sah di sisi undang-undang:

  • Nombor pendaftaran perniagaan
  • Dokumen yang mengandungi prosedur dasar Kenali Pelanggan Anda
  • Jenis perniagaan yang dijalankan
  • Status perniagaan

Ciri-ciri tambahan Xbit Asia:

Xbit Asia turut menyediakan API kepada pelanggannya dan anda boleh menghantar e-mel kepada mereka untuk memperoleh API tersebut.

Selain itu, tidak seperti platform lain, Xbit Asia menyediakan lebih banyak maklumat dan petua kepada pelawat tapak web mereka terutama sekali pelanggan mereka dengan menyediakan artikel peringatan supaya berhati-hati dalam perdagangan, petua mengelakkan penipuan Bitcoin dan sebagainya.

Ini menunjukkan mereka sangat komited dalam mendidik dan memberikan ilmu pengetahuan asas mengenai wang digital dan perdagangan pelaburan melibatkan token kripto.

Bagi ciri-ciri perdagangan Xbit Asia, pelanggan mempunyai beberapa pilihan asas dalam perdagangan seperti PnC (Pause and Cancel) pesanan. Untuk berhenti seketika, pesanan anda akan dipenuhi secara separa daripada nilai belian atau jualan. Untuk pembatalan pesanan, Xbit Asia akan membatalkan baki pesanan yang tidak dipenuhi lagi selepas transaksi dilakukan.

Sokongan dan bantuan Xbit Asia:

Xbit Asia menyediakan sokongan dan bantuan kepada pelanggan mereka melalui halaman FAQ yang lengkap dan menggunakan sistem tiket untuk menjawab sebarang persoalan yang pelanggan hadapi seperti masalah berkenaan 2FA, pengesahan akaun dan sebagainya.

Namun begitu, kumpulan bantuan mereka tidak beroperasi selama 24/7. Ini bermakna, Xbit Asia mungkin menghadapi sedikit kekangan masa untuk menyelesaikan masalah yang anda hadapi dalam masa yang pantas.

Tetapi jika anda membaca dan memahami segala isi di halaman FAQ, kemungkinan besar anda tidak akan menghadapi sebarang masalah menggunakan platform ini.

Anda boleh mendapatkan waktu operasi mereka dengan lebih lanjut di tapak web mereka.

Pengalaman pengguna:

Tapak web Xbit Asia hanya tersedia dalam bahasa Inggeris sahaja dan setelah diteliti, tiada alamat pejabat disertakan. Platform mereka juga tidak tersedia untuk telefon pintar.

Walau bagaimanapun, anda boleh mendapatkan berita terkini melalui tulisan blog, Facebook dan twitter mereka berkenaan penyelenggaraan platform dan pengumuman terkini.

Jika anda merupakan pedagang baharu dalam dunia wang digital, anda akan didedahkan dengan cara perdagangan asas dilakukan. Walaupun caj yang dikenakan agak mahal, namun Xbit Asia ialah platform yang lebih selamat dan terjamin.

Share

;

Copyright © 2017 - 2018. All rights reserved.